Seseorang yang dicampak atau ditempatkan ke dalam situasi baharu akan, pertama sekali, menganalisa persekitarannya bagi mengenalpasti ancaman keselamatan yang mungkin ada. Oleh itu, individu tersebut menjadi lebih peka akan setiap perkara, lebih berhati-hati akan segala fenomena yang berlaku di sekelilingnya dan lebih sedar akan kesan persekitaran tersebut kepada dirinya. Sebaliknya, jikalau individu itu dilahirkan di dalam persekitaran tersebut, beliau sukar untuk manganalisa segala perincian dan kesan-kesan persekitaran kerana individu tersebut telahpun terbiasa dengan persekitaran tersebut bak air kepada seekor ikan. Jadi, kita selalunya tidak sedar akan ciri-ciri persekitaran/zaman semasa kita dibesarkan serta kesan persekitaran/zaman tersebut kepada pembentukan diri kita. Kita jarang merenung kembali tentang keadaan masyarakat kita sekarang dek kerana kadang-kadang kita menganggapnya sebagai suatu yang biasa, suatu perkara yang semula jadi. Walaupun, secara umum, kita tahu bahawa kita hidup dalam zaman “moden”, bukan zaman “pertengahan” mahupun zaman “kuno” dengan perbezaan teknologi dan norma sosial yang ketara, tetapi kita tidak cakna akan aspek-aspek yang lebih besar, lebih menyeluruh, dan lebih ketara yang ada pada zaman ini.
Aspek atomisasi (pecah kecil) sosial
Satu aspek yang seringkali tidak kita fikirkan tentang zaman ini ialah kemerosotan hubungan silaturahim dan semangat kekitaan masyarakat kita dek kerana atomisasi sosial. Dalam erti kata lain, unit asas masyarakat dipecah-belahkan menjadi unit-unit yang lebih kecil. Pada zaman pertengahan dan zaman awal kemodenan, komuniti merupakan unit asas bagi sesebuah masyarakat. Antara sebabnya ialah kemunduran teknologi dalam komunikasi dan pengangkutan pada zaman-zaman tersebut menyekat manusia daripada hidup jauh daripada komuniti mereka dengan lebih mudah dan bebas. Kini, dek kerana perkembangan teknologi bersertakan asas pemikiran kewarganegaraan moden, dan pengangkutan tanpa sempadan, individu-individu dapat memilih tempat tinggal mereka dan memilih kewarganegaraan masing-masing. Apabila individu-individu membiasakan diri dengan konsep senantiasa berpindah serta memutuskan hubungan dengan komuniti tempat kelahiran mereka, identiti mereka dari segi komuniti menjadi sementara sahaja. Rata-rata manusia tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan komuniti serta budaya mereka; globalisasi membentuk manusia menjadi ibarat span yang menyerap apa-apa sahaja budaya dan norma serta kepercayaan yang wujud di mana sahaja mereka berada pada ketika itu. Kesannya, hilanglah apa-apa bentuk identiti yang kekal dan jelas. Maka, mereka yang tidak mempunyai identiti ini akan berasakan bahawa mereka tidak boleh menjadi sebahagian daripada mana-mana komuniti secara keseluruhannya. Tanpa komuniti, tiadalah budaya dimana mereka boleh ambil pemahaman serta norma yang sama antara individu-individu yang mampu menghasilkan satu hubungan yang akrab serta memupuk kepercayaan antara satu sama lain dengan lebih mudah. Natijahnya, keeratan silaturahim dalam sebuah komuniti akan lesap digantikan dengan individualisme. Individu akan menjadi unit asas sesebuah masyarakat dan bukan komuniti.
Analisis statistik yang dibuat berkenaan modal sosial menunjukkan bahawa masyarakat-masyarakat makin diatomisasikan di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara yang dipengaruhi barat dalam pembangunannya seperti Jepun dan Korea Selatan[1][2]. Antara penunjuk bahawa atomisasi kini kian merebak adalah seperti berikut: (1) Kekurangan tahap kepercayaan antara individu (2) Masa yang dihabiskan bersama para jiran dalam sesebuah kejiranan merudum (3) Penyertaan sosial secara amnya menurun. Tahap kepercayaan sosial adalah pada takat yang paling rendah dalam 40 tahun yang lalu di Amerika Syarikat dan hampir sepertiga orang Amerika melaporkan bahawa mereka langsung tidak berinteraksi dengan jiran-jiran mereka. Di Eropah pula, mereka lebih percaya kepada pihak polis berbanding satu sama lain. Di Jepun, kita boleh saksikan satu kejadian aneh yang didokumentasikan dengan baik yang dikenali sebagai hikikomori di mana orang muda tidak keluar langsung daripada rumah mereka dan enggan serta tidak boleh berinteraksi dengan dunia luar. Tambahan pula, secara amnya, walaupun kerajaan di negara-negara barat yang liberal dan demokratik dikatakan sebagai telus dan bertanggungjawab, namun, tahap ketidakpercayaan kepada kerajaan adalah tinggi. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kedua-dua parti politik dianggap sebagai mementingkan diri sendiri, mengutamakan hak golongan elit serta tidak mempunyai hubungan yang baik dengan para pengundi mereka. Kesannya, kepercayaan kepada kerajaan di Amerika Syarikat kini adalah tahap terendah dalam sejarahnya. Maka, apa-apa hujah yang munasabah akan ditolak dek kerana tiadanya kepercayaan antara kerajaan dengan rakyatnya. Teori-teori konspirasi terus merebak dan semangat kerjasama juga jatuh merudum seperti merudumnya tahap kepercayaan terhadap kerajaan. Lantas itu, penyertaan rakyat dalam soal politik secara keseluruhannya akan terus merosot. Dalam semua negara yang berbahasakan Inggeris serta negara-negara ala barat, kewujudan dan keluasan kesan-kesan buruk atomisasi sosial kian menjadi semakin melampau. Budaya ala-ala barat yang dikongsi bersama negara-negara tersebut bukannya suatu kebetulan tetapi suatu punca. Mereka semua berkongsi asas-asas ideologi dan materialisme yang sama dalam membina negara mereka ke arah atomisasi sosial.
Punca-punca dari segi ideologi: Liberalisme dan Individualisme
Punca asas atomisasi dan ideologi yang secara keseluruhannya mengarahkan pembangunan di negara-negara barat adalah Liberalisme; Liberalisme merupakan konsep falsafah klasik yang menyebut bahawa autonomi individu dan hak kesaksamaan antara individu merupakan dua nilai moral yang paling agung (diangkat lebih daripada nilai-nilai lain). Sebagai sebuah falsafah zaman pencerahan Eropah, Liberalisme telah mendominasi justeru membentuk pemikiran negara-negara barat pada awal zaman pemodenan mereka. Liberalisme menjadi asas kepada pembangunan etika dan moral mereka. Liberalisme menganalisa dunia daripada lensa individu sahaja, tidak mengambil peduli kepada pandangan dari sudut komuniti bahkan pandangan apa-apa kumpulan sekalipun. Oleh itu, segala soal ekonomi, politik, moral dan undang-undang akan diselesaikan berasaskan kepentingan individu sahaja. Maka, tidak hairanlah apabila individualisme secara ekstrem mula berpangkal di negara-negara liberal ini ( Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya).
Individualisme merujuk kepada sebuah ideologi ( hampir sama seperti Liberalisme) yang menekankan kepentingan pilihan-pilihan individu melebihi pilihan serta kepentingan sesebuah masyarakat atau kumpulan. Individualisme membentuk suatu kewujudan dimana individu-individu akan asaskan segala perihal, perlakuan dan pemikiran mereka adalah berasaskan kepada kemahuan dan keperluan diri mereka sendiri. Ego mereka menjadi asas kepada kewujudan mereka dengan sendirinya. Secara semula jadinya, ideologi yang berpaksikan individualisme akan menghasilkan kelakuan yang mementingkan diri sendiri. Maka, apabila individualisme semakin berleluasa, manusia akan percaya bahawa piliihan mereka adalah suci, selagi mana mereka tidak ‘memudaratkan’ orang lain maka mereka membuat pilihan yang baik. Dek kerana itu, hilanglah secara perlahan-lahan sebarang rasa kewajipan atau khidmat kepada masyarakat sekeliling. Jikalau kemudaratan fizikal dan kepentingan diri-sendiri menjadi pemisah antara yang betul dan yang salah, maka kepentingan kolektif/komuniti yang selalunya memerlukan pengorbanan diri dan kadangkala menyebabkan kemudaratan kepada orang lain akan diketepikan dengan mudah. Liberalisme menghasilkan Individualisme yang membentuk sebuah masyarakat yang terdiri hanya daripada individu-individu dan lenyaplah semangat kekitaan/komuniti.
Apabila Komunitarianisme bertemu dengan Individualisme
Migrasi besar-besaran orang daripada kawasan Afrika Utara dan Timur Tengah, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Muslim, ke Eropah mengesahkan perbezaan di antara masyarakat individualistik dan masyarakat komunitarian. Para migran akan cenderung untuk mengasingkan diri mereka, mengekalkan budaya, bahasa dan pemakaian mereka serta mengatasi orang Eropah dari segi keagamaan dan kadar kelahiran. Seseorang boleh menisbahkan perbezaan-perbezaan di antara Migran Muslim dan Orang Eropah kepada perbezaan agama, mungkin agama Islam lebih mempertahankan semangat kekitaan berbanding agama Kristian. Namun, penerangan tersebut tidaklah kukuh kerana secara tradisionalnya, agama Kristian di Eropah mempunyai ciri-ciri kekitaan. Sebagai contoh, penyusunan masyarakat di bawah sistem kariah dan negara bangsa di bawah kepala gereja nasional, yang selalunya dalam bentuk monarki. Kini, kerana rata-rata orang Eropah tidak mementingkan agama, sistem ini menjadi lapuk. Jadi, hakikatnya, perbezaan di antara masyarakat kekitaan di kawasan MENA (Middle Eastern and North African region) dan masyarakat yang individualistik di Eropah adalah disebabkan oleh perbezaan tahap kepentingan peranan agama dalam hidup masing-masing di kawasan-kawasan tersebut.
Eropah ialah tempat kelahiran Liberalisme, sebuah ideologi yang berperanan untuk membebaskan individu dari apa-apa tradisi, agama mahupun masyarakat. Liberalisme bertapak di benua Eropah secara teguh pada abad ke-20 apabila segala pergerakan kolektif moden (fasisme dan komunisme) terpadam. Salah satu mangsa daripada gerakan hegemoni ideologi ini adalah Kristianiti. Meskipun masih berjuta yang mengaku diri sebagai penganut agama Kristian di Eropah, agama Kristian itu sendiri telahpun berserah secara total kepada Liberalisme. Sebagai contoh, Ireland yang merupakan negara katolik yang kuat, masih mengundi secara luar biasa untuk mengesahkan pengguguran janin. Selain itu, negara Jerman yang sekular menggunakan Kristianiti untuk kepentingan kerajaan sedangkan secara amnya Kristianiti tidak dihiraukannya.
Manakala, kawasan MENA belum dikuasai oleh Liberalisme secara keseluruhannya. Meskipun ada terdapat usaha pada suatu masa seperti gerakan Pan-Arab yang sekular oleh Gamal Abdel Nasser dari Mesir, penjajahan Perancis ke atas Algeria dan yang kini sedang berlaku seperti projek Islam ‘liberal’ oleh Emiriah Arab Bersatu, Islam kekal sebagai gerakan ideologi yang utuh. Walaupun tidak lagi gemilang seperti dahulukala, kesannya masih berkeliaran dalam minda orang-orang di MENA. Islam masih lagi memberi inspirasi kepada mereka untuk mengimpikan dan membina satu visi tamadun yang menyaingi dan mengatasi tamadun liberal barat. Mahupun interaksi dengan barat itu tidak dapat dielakkan, Liberalisme dan kesan atomisasinya tidaklah begitu ketara di bumi Muslim jika dibandingkan dengan kesannya di Eropah. Oleh itu, walaupun semangat kekitaan dilemahkan, ia masih wujud dan berpengaruh. Namun, jika Liberalisme menjadi gah, kewujudan semangat kekitaan akan hilang. Hal ini menjadi sebab mengapa Migran Muslim ke Eropah hebat dalam mengekalkan gaya hidup berkomuniti dalam keadaan masyarakat yang paling individualistik. Pertembungan komunitarianisme dan individualisme ini juga mungkin menjadi penyebab meningkatnya ketegangan sosial di Eropah. Jikalau mereka meliberalkan ‘Islam’ yang diamalkan atau masyarakat Eropah mempunyai semangat komuniti yang lebih tinggi serta menggubal cara untuk hidup bersama dalam berbilang komuniti tanpa perlu kepada penundukan agama kepada sekularisme, integrasi di Eropah akan menjadi lebih mudah. Tetapi, Liberalisme, seperti semua ideologi moden perlu kepada dominasi secara menyeluruh.
Konco-konco Liberalisme: Pasaran Bebas dan Campur Tangan Kerajaan
Atomisasi sosial bergantung kepada dominasi Liberalisme. Kedua-dua konco Liberalisme, sama ada campur tangan kerajaan ataupun pasaran bebas, meskipun diperjuangkan oleh pihak politikal yang bermusuhan, ialah dua elemen yang berkerjasama dalam meneruskan atomisasi sosial. Pihak konservatif memperjuangkan kapitalisme pasaran bebas yang merupakan sistem ekonomi yang paling suai kepada Liberalisme. Pihak progresif pula memperjuangkan penyeliaan pasaran dan penglibatan terus pihak kerajaan dalam ekonomi bagi mengekang kapitalisme melampau. Liberalisme mengutamakan autonomi individu dan kebebasan sepertimana kapitalisme mengutamakan hak membeli individu. Maka, sistem pasaran bebas merupakan sistem yang ideal kepada ekonomi liberal: semua orang boleh bersaing untuk harta dan kejayaan dan persaingan tersebut akan mempromosikan kesaksamaan. Sepertimana Liberalisme, hasil kapitalisme ialah penghapusan komuniti dan struktur sosial. Kapitalisme memperoleh lebih faedah daripada atomisasi sosial kerana lebih ramai individu bermaksud lebih ramai konsumer/pengguna maka lebih banyaklah keuntungan yang boleh diraih. Oleh itu, kapitalisme mempunyai kepentingan untuk memecah-belahkan sesebuah keluarga kepada individu-individu. Sebagai contoh, jika sesebuah rumah hanya mempunyai sebuah telefon, seluruh ahli keluarga yang lain akan dianggap sebagai konsumer yang berpotensi. Natijahnya, telefon rumah, dahulunya satu item wajib bagi kebanyakan keluarga digantikan pula dengan telefon-telefon bimbit milik peribadi seluruh isi rumah.
Lantas itu, apabila semua komuniti/keluarga semakin berpecah menjadi individu, sistem ekonomi ini akan terus, mencari cara untuk terus memecah-belahkan komuniti untuk menghasilkan konsumer-konsumer baharu. Pembahagian ekonomik ini akan meletakkan kebanyakan orang di dalam keadaan kewangan yang tidak stabil. Keluarga-keluarga tidak lagi menguruskan bajet sebagai sebuah keluarga kerana semua terpaksa merisaukan tentang diri mereka sendiri. Sistem pelaburan berasaskan hubungan kekeluargaan yang secara tradisionalnya digunapakai untuk membantu satu sama lain dalam kesusahan seperti sistem ‘Osusu’ dalam komuniti-komuniti di Afrika dan ‘Tanda’ di Amerika Latin akan diketepikan begitu sahaja. Kesannya, pengalaman kemiskinan akan lebih terasa dek kerana kurangnya sistem-sistem sokongan, kewangan dan lain-lainnya yang ada dalam masyarakat yang mengutamakan semangat kekitaan. Ini adalah sebab mengapa negara-negara barat dan seumpamanya mempunyai tahap ketidaksamaan harta yang begitu tinggi. Amerika Syarikat, Sweden, UK, Jerman dan Austria adalah negara-negara yang tergolong dalam senarai kedudukan 6 tertinggi dunia dari segi ketidaksamaan harta. Hidup berdikari menjadi semakin susah bagi mereka yang miskin di negara-negara barat, maka ini memberi peluang kepada pihak progresif untuk memperjuangkan penglibatan kerajaan dalam bantuan dan perlindungan kewangan. Maka, individu-individu semakin bergantung kepada kerajaan untuk bantuan. Lantas, mempercepatkan atomisasi sosial kerana mereka tidak lagi perlu bergantung kepada ahli keluarga dan komuniti mereka. Suasana ekonomi begini mendedahkan bahawa kedua-dua pihak, konservatif dan progresif, adalah pada hakikatnya berada pada pihak yang sama kerana kedua-duanya mengangkat Liberalisme dan mencadangkan polisi yang membahayakan semangat kekitaan.
Maju Ke Hadapan: kebangkitan semula semangat kekitaan?
Setelah melihat dan memahami kesan-kesan buruk seperti atomisasi sosial yang dibawa Liberalisme, adalah menjadi kewajiban kita untuk mengajar diri kita dalam perihal tersebut serta mencari solusi untuk mengekang atomisasi sosial. Oleh itu, kerana Liberalisme, Individualisme dan Sekularisme menjadi punca atomisasi sosial, kita mesti mencari ideologi alternatif dan sistem ekonomi-politik yang lain serta memikirkan tentang kemungkinan dan cara untuk mengamalkannya/menjayakannya. Ini merupakan sesuatu perkara yang penting untuk ditangani oleh semua yang hidup di zaman moden, muslim ataupun tidak, kerana kita semua terkesan dengan atomisasi sosial. Untuk mencabar dan melawan keadaan dunia sekarang bukanlah suatu perkara yang mudah, solusi yang diutarakan pasti akan dipertikaikan. Tetapi, dengan mempunyai diagnosis yang sama tentang kekurangan-kekurangan dan bahaya yang ada pada kemodenan, kita boleh mula untuk membentuk suatu usaha yang diselaraskan bersama untuk mengatasi kekurangan-kekurangan tersebut.
Works Cited:
- http://cityobservatory.org/wp-content/files/CityObservatory_Less_In_Common.pdf
- https://ourworldindata.org/trust
About the Author: Sami Omais is a graduate in political science and European history. His interests include traditional Islamic sciences, geopolitics, Middle Eastern history, and Islam in America.
This article was generously translated by Muhammad Shahmi Bin Shahrir.
Disclaimer: Material published by Traversing Tradition is meant to foster scholarly inquiry and rich discussion. The views, opinions, beliefs, or strategies represented in published articles and subsequent comments do not necessarily represent the views of Traversing Tradition or any employee thereof.